MGG1501
Super
Bumiputera Menyerang Lagi (MGG: The Super
Bumiputra Strikes Again)
MGG Pillai
Setelah mengarahkan polis berkawal di pintu
masuk SRJK cina di Damansara, kerajaan telah mengugut menyingkirkan para
pelajar yang ingkar. Di waktu yang sama tidak pula disebut kenapa sekolah yang
berusia 70 tahun itu mesti dipindahkan. Sekolah itu terpaksa berpindah
tempat ke satu tapak sementara di kawasan sebuah sekolah lain.
Lokasinya berdekatan dengan sebuah projek yang dibangunkan oleh seorang peniaga
yang bertaraf antarabangsa yang tidak ada tolok bandingnya. Itulah dia Super
Bumiputera Tan Sri Vincent Tan dan adiknya Dato Daniel Tan.
Keadaan masih
tegang lagi. Kesilapan kerajaan menangani perkara itu telah membabitkan
perkara itu kepada soal pembelajaran masyarakat Cina dan membabitkan
para pendidik Cina pula. Ibu bapa dan anak-anak murid sekolah itu telah
berpiket di hadapan kementerian pendidikan dua hari yang lalu.
Menteri
Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamed, telah berdolak-dalik lagi ketika bertemu
dengan golongan ibu bapa semalam (16 Januari 01), dan mengumumkan
bahawa sekolah itu akan terus dibuka. Ini amat bertentangan dengan kenyataan
seorang pegawai lain pula. Dia telah memberitahu media kalau Lembaga
pengarah SRJK(C) tidak mampu memujuk para pelajar untuk berpindah ke
sekolah yang baru, sekolah yang ada akan terus dikekalkan. Tetapi apakah
yang dikatakannya itu sesuatu yang bersifat kekalutan juga? Kerajaan telah
mengambil sikap untuk memuaskan kehendak masyarakat yang meminta mengikut
persetujuan yang diberikan oleh Lembaga sekolah itu dulu. Tetapi, berita
persetujuan awal lembaga sekolah itu masih tidak dapat disahkan. Dalam hal ini
lembaga sekolah itu yang mesti memberikan penjelasan. Nampaknya
ada satu muslihat yang tersorok sehingga berlakunya ketegangan itu.
Kita
diberitahu, sekolah itu terpaksa dipindahkan untuk memberi ruang kepada
pembinaan satu lebuh raya apabila pembinaannya dimulakan. Oleh kerana lokasi
sekolah menghalang pembinaan laluan itu, makanya ia terpaksa dialihkan. Kalaulah
itu masalahnya maka senanglah untuk menyelesaikannya. Tetapi, ada pula alasan
tersorok di sebalik itu semua. Ia mempunyai kaitan dengan rancangan projek
yang dilaksanakan oleh dua Super Bumiputera itu. Harga projek itu tidak akan naik
nilainya, kerana terdapatnya tanah lapang yang menjadi padang di situ. Sebuah
syarikat kepunyaan Super Bumiputera itu amat memerlukan tanah lapang tersebut
untuk digunakan sehingga mampu menaikkan lagi harga hartanah mereka. Oleh kerana
kerajaan mudah berlembut dengan kemahuan mereka, makanya
diarahkan sekolah itu berpindah walaupun sekolah pengganti belum siap terbina.
Akan terbinakah sekolah gantian itu nanti? Saya yakin ia akan terbina juga:
kepantasannya tentulah sama irasnya dengan projek monorel yang merupakan satu lagi
projek Super Bumiputera itu. Projek itu sepatutnya siap pada tahun 1998, tetapi
kita diberitahu akan siap hanya pada tahun hadapan sahaja.
Inilah mata
lebam kerajaan yang disengajakan sendiri, berbeza dengan yang dialami oleh
Dato Seri Anwar Ibrahim. Dulu ia menjadi gelabah kerana rancangan Sekolah
Wawasan, kerana itulah satu sandiwara untuk mengaut tanah yang mahal nilainya dan
digantikan dengan sekolah baru yang dibina di tempat yang jauh-jauh
letaknya. Kerajaan mahukan rakyat marhaen akur dengan segala rencana untuk
memuaskan nafsu-nafsi para kroni dan suku-sakat, tidak kiralah kalau rancangan itu
menyusahkan akhirnya. Tetapi, setiap kali rancangan kerajaan itu ditentang seperti
yang berlaku sekarang ini, kerajaan akan mengalah pula. Sudah menjadi satu
hakikat bahawa setiap program penswastaan diserahkan kepada para kroni dan suku-sakat
ini. Masalahnya setiap projek itu gagal dilaksanakan dan ada yang sudah
diserahkan balik kepada kerajaan untuk dikitar sebagai penswastaan baru
semula.
Kemelut Lunas, rencana penyelamat MAS, hak istimewa orang melayu
adalah kayu pengukur kepada semua keangkuhan itu. Kumpulan Super Bumiputera
yang juga dikenali sebagai (aka ¨C also known as) pedagang antarabangsa yang
tidak ada tolok bandingnya telah mengkucar-kacirkan setiap projek penswastaan
yang diberikan oleh kerajaan kepadanya. Termasuklah projek Sports Toto yang
sungguh lumayan itu. Begitu juga halnya dengan pemberian tanah hutan simpan
yang beribu hektar luasnya di beberapa negeri. Tetapi si malaun ini terus juga
menghadapi kegagalan berulang kali.
Apakah Tan Sri Vincent Tan
dan adiknya membeli tanah itu mengikut kadar yang ditetapkan oleh pasaran? Tentu
tidak. Apakah tanah sekolah itu diberikan opsyennya untuk ditukar syaratnya
daripada tapak sekolah kepada tapak komersial, untuk memmbolehkan tanah itu
dipajakkan bagi tujuan mendapatkan kemudahan pinjaman bank? Tentu tidak.
Bila si malaun itu mahu memajukan sebuah kelab golf di Damansara, Universiti
Malaya terpaksa melepaskan pegangan ke atas sebidang untuk memberi ruang kepada
pembikinan lebuh raya yang sepatutnya dibuat di atas tanah kepunyaan si malaun
itu. Itu sebabnya dia sentiasa dirundung kerugian setiap kali dia cuba bangkit
daripada kerugian yang baru dialaminya. Kenapakah agaknya dia dibenarkan
menyekat pembangunan sistem pendidikan untuk menjamin
keuntungannya? Semua saham syarikatnya yang tersenarai di BSKL
tidak pun mempunyai nilai setara dengan harga par saham itu. Namun, dia tetap
diselamkan setiap kali dia dirundung kerugian. Kenapakah agaknya?
Terjemahan
MT 17.1.01.
|